LANGKAWI, 10 Dis (Bernama) — Kerajaan Kedah akan menjalinkan kerjasama strategik dengan syarikat swasta bagi menubuhkan armada nelayan laut dalam ‘Kedah Deepsea Fishing Fleet’ (KDFF) khusus untuk penangkapan tuna, kata Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Katanya kerjasama dengan syarikat penangkapan tuna Luhaifeng Holdings (M) Sdn Bhd (LHF) itu akan memanfaatkan permit penangkapan ikan tuna yang diperuntukkan kepada Malaysia oleh Suruhanjaya Tuna Lautan Hindi (IOTC).

Setakat ini hanya 19 permit dimanfaatkan berbanding 135 yang diperuntukkan, katanya kepada pemberita selepas melawat kapal milik LHF yang berlabuh di Pelabuhan Tanjung Lembung, di sini hari ini.

Beliau berkata menerusi kerjasama itu juga kerajaan negeri akan menghidupkan semula Projek Terminal Perikanan Bersepadu Kedah yang sebelum ini tertangguh dan akan dijadikan antara pusat pendaratan utama ikan tuna di negara ini.

Menurutnya projek itu yang terletak di Kuala Kedah akan dinamakan semula sebagai projek Pembangunan Perikanan Agro Bersepadu Kedah-LHF (KIFD).

“KIFD akan menjadi satu nukleus yang terbesar di rantau ini dalam ‘supply chain’ ikan yang sumbernya dari Lautan Hindi dan kawasan-kawasan sekelilingnya seperti bahagian barat Malaysia kepada pasaran yang terbesar di bahagian timur Malaysia,” katanya.

Sumber dari BERNAMA