KUALA LUMPUR: Jaringan pemain muda meningkat naik, Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam pada minit ke-105 menjulang Kedah muncul juara Piala FA 2019 selepas menewaskan Perak 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Kemenangan di hadapan 83,520 penyokong di stadium kebanggaan rakyat Malaysia itu, sekali gus meranapkan impian skuad ‘The Bos Gaurus’ untuk menamatkan penantian 15 tahun merangkul trofi berprestij tersebut selepas kali terakhir mendakapnya pada 2004.

Kejayaan skuad kendalian ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak itu juga menyaksikan Kedah berjaya menyamai rekod kejuaraan lima kali Selangor dalam saingan Piala FA, selepas skuad Lang Merah itu turut meraih gelaran pada 1996, 2007, 2008 dan 2017.

Aksi final edisi ke-30 itu, menyaksikan pertembungan sengit dua gergasi dari Utara dengan kedua-dua pasukan menampilkan permainan berhati-hati dalam memburu gol sehingga perlawanan terpaksa diheret ke masa tambahan selepas aksi 90 minit masa sebenar berakhir dengan keputusan tanpa jaringan.

“Sumber petikan daripada BERNAMA”