PRIHATIN dengan nasib yang menimpa dua beranak yang hanya bergantung hidup dengan mengutip tin dan botol kosong untuk dijual, pihak Perbadanan Menteri Besar Kedah telah tampil menghulurkan bantuan.

Selepas kisah mengenai Muhammad Haiqal Muhamadan, 11, tular di media sosial mengutip botol kosong dan tin di dalam tong sampah di Bandaraya Alor Setar, pihak Perbadanan Menteri Besar Kedah telah menjejaki adik Muhammad Haiqal bersama dengan beberapa agensi lain termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat dan badan bukan kerajaan.

Muhammad Haiqal ditemui tinggal bersama ibunya Noramydia Mohd Nasir, 41, di bangunan dipercayai rumah banglo separuh siap dalam hutan di belakang kilang kopi, di Tandop dekat sini.

Eksekutif Komunikasi Korporat Perbadanan Menteri Besar Kedah, Siti Natratul Naim Zakaria berkata, pihak Perbadanan Menteri Besar Kedah turun padang membantu dua beranak berkenaan sebaik menerima maklumat tular di laman sosial dan mahu melihat sendiri keadaan kediaman mereka seperti dilaporkan.

Katanya, setakat ini pihaknya menghulurkan bantuan keperluan asas makanan diperlukan mereka dan akan membantu golongan asnaf lain sekiranya menerima laporan.

“Kehadiran kami bagi mengenalpasti masalah yang dihadapi adik Muhammad Haiqal dan menyampaikan sedikit sumbangan untuk menyambut Aidilfitri ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JKM Kedah, Azmi Abd Karim berkata, pihaknya menghantar pegawainya untuk melihat keadaan dua beranak itu dan membawa mereka ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi mendapatkan perlindungan dan pemeriksaan.

Katanya, pihaknya akan memantau keadaan mereka dan menunggu laporan perubatan hospital sebelum tindakan susulan diambil.