ALOR SETAR – Kembara Pertabalan sempena Istiadat Pertabalan Sultan Kedah ke-29 yang dijadual berlangsung pada 22 Oktober ini akan bergerak ke 12 daerah di seluruh negeri bagi memberi hebahan dan promosi berkaitan aktiviti yang disusun atur sempena istiadat itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata kembara itu akan disertai 29 buah kereta yang menggambarkan simbolik Sultan Kedah ke-29.

Berucap ketika melancarkan logo serta kembara pertabalan itu, Mukhriz berkata kembara secara serentak yang menjadikan Alor Setar sebagai daerah pertama jelajah, akan menyaksikan rakyat diberi penerangan, hebahan serta jemputan untuk menyertai acara-acara berkaitan.

Terdahulu Mukhriz melancarkan logo pertabalan itu yang akan digunakan sebagai logo rasmi dalam acara-acara yang disusun atur sempena istiadat.

Logo yang diperkenankan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah itu terdiri daripada beberapa motif seperti bunga padi, perisai serta rumpun batang padi.

Istiadat pertabalan kali ini adalah peristiwa bersejarah memandangkan kali terakhir istiadat itu diadakan pada 20 Februari 1959, iaitu 59 tahun yang lepas, ketika Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ditabal sebagai Sultan Kedah ke-28.

Sumber petikan daripada Sinar Harian