PENDANG – Seorang warga emas yang tinggal seorang diri terpaksa menoreh getah bagi menyara kehidupannya sendiri.

Lebih menyedihkan, Siti Romlah Salleh, 71, hanya tinggal di sebuah rumah usang yang sudah dimakan anai-anai selain tidak dilengkapi bekalan air yang sempurna dan hanya menggunakan telaga.

Katanya, setiap pagi dia akan keluar menoreh getah seawal jam 7 pagi demi sesuap nasi.

“Dengan duit itulah makcik gunakan untuk beli barang makan seperti beras, gula, minyak masak dan lauk.

“Alhamdulillah duit tu cukup, cuma makcik tak mampu lagi untuk membaiki rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Banggol Tambak Mukim Air Puteh, kelmarin.

Menurut Siti Romlah, sejak lima bulan lalu dia hanya tinggal di rumah berkenaan pada waktu siang manakala sebelah malam dia akan menumpang tidur di rumah sepupu.

“Makcik takut nak tidur sorang sebab rumah sering dimasuki ular dan binatang berbisa,” katanya.

Siti Romlah berkata, dia sangat berharap dapat tinggal di rumah yang lebih selesa setelah berpindah dari Kampung Tekai, Padang Terap berikutan kematian suaminya empat tahun lalu.

Katanya, dia dikurniakan seorang anak namun meninggal semasa kecil.

Sementara itu, kisah kedaifan hidup Siti Romlah mendapat perhatian Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI) yang turun padang ke rumahnya serta membantu mempermudahkan proses memohon rumah baharu untuknya.

Pengurus Komunikasi Korporat dan Multimedia MBI, Cik Embun Majid berkata, pihaknya telah mengutarakan keperluan Siti Romlah kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), baru-baru ini.

Hadir sama, Pegawai Zakat Daerah Pendang, Mohd Nasri Abdul Ghani dan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pendang, Syaffrey Ibrahim.

Mohd Nasri berkata, sebuah rumah baharu yang mempunyai kelengkapan sebuah bilik tidur dan bilik air akan dibina dalam masa terdekat dengan peruntukan RM25,000.

“Rumah ini akan dibina di tanah milik Siti Romlah sendiri berikutan rumah yang didiami sekarang adalah di atas tanah adiknya,” katanya.

Selain bantuan rumah, Siti Romlah turut menerima Bantuan Orang Tua (BOT) daripada JKM sebanyak RM350 sebulan sejak Oktober 2017. – sumber BERNAMA