PADANG TERAP: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini, merasmikan projek Kedah Rubber City (KRC) yang diyakini mampu menjadi pemangkin transformasi sosioekonomi negara.
Beliau berkata, KRC akan menjadi taman perindustrian getah khusus mesra alam pertama di Malaysia yang dijangka mampu mengekalkan pertumbuhan semasa Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Kedah khususnya.
“KRC adalah salah satu daripada pelbagai projek ‘game changer’ yang dilaksana Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama kerajaan negeri untuk mentransformasi Kedah sebagai negeri maju, sekali gus merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.
“Projek ini turut mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menyampaikan pembangunan berskala besar ke kawasan kurang membangun di negara ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Strategik NCER-KRC di sini, hari ini.
Ismail berkata, sambutan terhadap KRC sehingga kini adalah menggalakkan apabila berjaya menarik pelaburan bernilai kira-kira RM4 bilion yang dijangka mewujudkan 7,000 peluang pekerjaan baharu kepada Keluarga Malaysia.
“Malah, KRC kini berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran pelaburan swasta RM10 bilion menjelang 2025 iaitu lima tahun lebih awal daripada sasaran asal 2030.
“Pelaburan ini bakal mewujudkan kira-kira 15,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, bukan sahaja di Padang Terap malah di Kedah secara keseluruhannya,” katanya.
Sumber petikan daripada Berita Harian